Bismillah. Assalamualaikum dan salam Jumaat. Perkongsian kali ini sesuai sekali untuk para lelaki dan wanita yang bakal mengikat tali pertunangan untuk berkahwin tidak lama lagi. Tapi ini tidak bermakna artikel ini tidak boleh dibaca oleh orang lain sama ada bujang atau telah berkahwin. Semoga kita semua sama-sama merefleksi diri selepas membaca artikel ini. Kredit artikel kepada Ust. Ahmad Baei Jaafar.
“Perigi mencari timba” selalu dikaitkan dengan amalan hina bagi wanita yang mencari sendiri teman lelakinya. Kononnya tidak manis bagi wanita menyatakan hasrat untuk berkahwin mendahului kaum lelaki.
Kesannya ramai juga pada hari ini wanita bergelar andartu atau andalusia kerana wanita tidak mahu menyuarakan hasratnya kepada lelaki idamannya. Pada masa yang sama lelaki takut untuk masuk meminang mereka kerana statusnya yang tua atau berpangkat lebih dari lelaki.
Betul juga adab itu, malah menjadi kesopanan bagi wanita menunggu di rumah, mengharapkan dipinang oleh lelaki. Tetapi amalan itu memang telah dipraktikan pada zaman dahulu malah relevan kerana ibu bapa masing-masing bertanggungjawab terhadap terhadap anak gadis mereka.
Ibu bapa akan segera melihat perkembangan dan perubahan fizikal anak-anaknya. Kalau anaknya sudah layak berkahwin, dia akan cadangkan sebuah perkahwinan kepada anaknya. Maka bapa lelaki akan mencari dan merisik anak kawan atau jirannya dan jika sesuai akan terus dipinang.
Tetapi kini, ibu bapa lepas bebas anaknya di tengah gelanggang dunia, maka adab itu perlu diubah suai sedikit mengikut perubahan masa dan tempat. Sebenarnya dalam sejarah silam, Khadijah sendiri pernah meminang Muhammad, pekerjanya untuk dijadikan suaminya. Selain itu, guru-guru pondok juga sering memilih anak murid lelakinya yang pandai dan dipercayai untuk dijadikan anak menantunya.
Jadi, adab itu boleh dipakai untuk satu keadaan dan tidak boleh dipakai untuk keadaan lain. Semuanya bergantung kepada keperluan semasa. Bagaimanapun, jika wanita itu sudah suka kepada lelaki itu, dia harus meminta pihaknya untuk masuk meminangnya jika dia mahu menjaga maruah wanita.
Sebenarnya untuk memilih pasangan hidup, Islam memberi panduan cara memilih kepada lelaki sebelum memutuskan untuk meminang. Sabda Rasulullah SAW: “Lazimnya wanita itu dinikahi kerana empat sebab: Kecantikannya, hartanya, keturunannya dan kerana agamanya. Maka utamanya yang kuat pegangan agamanya supaya selamat kedudukanmu.” (Riwayat al-Bukhari).
Beruntunglah, jika seseorang lelaki itu beroleh pakej keempat-empat itu serentak, tetapi kalau tidak dapat sebahagiannya, pilihlah yang beragama. Bagaimanapun beragama yang dimaksudkan di sini bukan sekadar beragama Islam sahaja tetapi sikap, tabiat, akhlak, akidah dan ibadahnya ikut petunjuk agama.
Apabila seseorang lelaki itu sudah mengenal pasti orangnya, perlulah disempurnakan ikatan pertunangan. Ikatan itu perlu dilakukan secara rasmi tetapi tidaklah pula perlu mengikut adat yang sampai menyusahkan pihak lain, apatah lagi boleh berlaku pembaziran.
Manakala pihak yang menerima peminangan boleh menilai lelaki tersebut sama ada kufu atau tidak, bagaimana agama dan akhlaknya. Jika semuanya sesuai dengan anaknya, wajarlah menerima dan merestui perkahwinan mereka.
Sabda Rasulullah SAW: “Apabila meminang lelaki akan anak kamu yang kamu merestui agamanya dan akhlaknya, maka kahwinilah dia. Jika kamu tidak berbuat begitu ditakuti timbul fitnah di muka bumi dan berlakulah kerosakan.” (Riwayat at-Tarmizi).
Berikut adalah panduan yang boleh dicontohi bagaimana proses pertunangan yang seharusnyadilakukan agar tidak bercanggah dengan Islam.
1. Hendaklah seorang wanita menyerahkan kepada seorang keluarganya menyelidiki lelaki yang meminangnya iaitu tentang agamanya, fahamannya, nilai peribadinya dan juga ketepatan janjinya.
2. Hendaklah dia memerhatikan keluarga tunangnya itu dan penghuni-penghuni rumahnya.
3. Perhatikan tentang pelaksanaan solatnya secara individu dan jemaahnya.
4. Perhatikan matlamat perniagaan dan perusahaannya (jika dia terlibat).
5. Hendaklah menggalakkan tunangnya dalam memperkuatkan agamanya, tidak dalam bidang harta bendanya atau sikap hidupnya tanpa mengira kedudukannya.
6. Hendaklah dia bersama-sama berazam di atas satu dasar hidup iaitu qanaah.
7. Hendaklah dia mematuhi kehendak bakal suaminya itu supaya dapat menguatkan hubungan, pergaulan dan menetapkan rasa kasih sayang.
Perlu diingat, dalam tempoh pertunangan hubungan pasangan itu belum boleh bergaul bebas, apatah lagi berdua-duaan. Pertemuan hanya boleh di rumah perempuan dengan ditemani oleh muhramnya.
Ingatlah jika sekadar bertunang, sudah bebas ke mana-mana, menginap di hotel dan sebagainya, mereka boleh disabitkan kesalahan jenayah dalam Islam. Maka sebelum semua itu berlaku dan menghindari sesuatu yang tidak diingini, wajarlah mereka dikahwinkan segera oleh ibu bapa.
terima kasih pada keluargaku sayang.harap perkongsian ini dapat memberi syafaat pada semua :)
~wasalam~
Tiada ulasan :
Catat Ulasan
love u ollz.... semoga kita terus berblogging :)